Cara mengendalikan perniagaan kedai runcit
Sesiapa pun pasti pernah masuk ke dalam kedai runcit walau pun hanya membeli sebungkus gula-gula. Kedai runcit tidak seperti pasaraya. Keluasannya kecil dan biasa terdapat di bangunan lot kedai atau pun di kawasan kampung, pinggir bandar. Ketika pasar raya besar membangun semakin hampir dengan kawasan perumahan, kedai runcit tetap memiliki pelanggannya sendiri. Tidak hairanlah banyak kedai runcit masih dapat bertahan walaupun keuntungan tidak seperti dahulu.
Selain kedudukannya sangat hampir dengan kawasan penempatan, kedudukan pasar raya yang terletak sedikit jauh membuatkan pelanggan memilih membeli di kedai runcit bagi barang keperluan dalam keadaan kecemasan. Umum diketahui, harga barang dalam kedai runcit sedikit mahal berbanding harga kebanyakkan barang di pasaraya, namun kedai runcit kadang kala lebih menjimatkan kerana pengurangan penggunaan minyak kenderaan dari rumah ke pasaraya.
Keadaan susun atur kedai runcit masih tidak banyak berubah. Ada barang yang sudah berhabuk, tamat tempoh tarikh luputnya dan tidak teratur sedikit mencacatkan dan kurang memberi keberkesanan dalam menarik minat pelanggan untuk menjadikan kedai runcitnya sebagai pilihan walupun terdapat kedai runcit alternatif di sekitarnya. Bagaimana cara susun barang dalam kedai runcit agar memudahkan pelanggan membeli barang dan membantu meningkatkan hasil jualan kedai runcit?
Sebelum saya menerangkan cara susun barang kedai runcit, izinkan saya menyatakan terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira supaya penyusunan barang tidak mengurangkan pendapatan peniaga kedai runcit.
Faktor pertama adalah kecurian. Kedai runcit paling mudah mengalami kes kecurian memandangkan kurangnya pengawasan keselamatan. Lazimnya peniaga dibantu oleh ahli keluarga sahaja sama ada suami, isteri atau anak-anak. Kini sudah terdapat kedai runcit sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV), cermin kedai dan mengambil pembantu bagi mengatasi masalah kecurian yang berlaku.
Faktor yang kedua mengenai kepelbagaian fungsi kedai runcit. Segelintir kedai runcit menjual barang kering sahaja. Ada juga kedai runcit menjual barang kering dan basah. Pembahagian dan perancangan pengubahsuaian kedai runcit perlu mengambil kira perkara ini supaya peniaga tidak perlu menimbang berat ikan sambil pelanggan lain menunggu terlalu lama di kaunter pembayaran.
Faktor ketiga adalah barang perlu disimpan pada keadaan yang sesuai dengan suhu simpanannya. Setiap barang ada dinyatakan suhu penyimpanannya tersendiri. Jika tidak diambil perhatian, peniaga bakal mendapat maklum balas yang negatif berkenaan barang yang dijual sama ada rosak dan tidak dapat digunakan lagi. Barang mudah masuk angin dan tidak dapat dimakan lagi pernah terjadi pada saya.
Faktor keempat berkenaan perancangan fast dan slow item. Fast dan slow item merujuk kepada kekerapan barang dibeli dan paling mendapat sambutan di kalangan warga setempat. Justeru peniaga perlu mengelakkan membeli barang pada kuantiti yang banyak pada barang yang jarang dibeli atau tidak perlu menjualnya supaya mampu mengurangkan kos syarikat.
Perkara terakhir berkenaan berapa tinggi nilai sesuatu barang dan kedudukan barang tersebut perlu diletakkan. Barang paling mahal dalam kedai runcit adalah aset jualan syarikat yang boleh dicuri dan dijual semula. Oleh itu lima faktor disebutkan tadi perlu pertimbangan yang wajar daripada peniaga agar cara susun barang lebih berkesan dan teratur.
Pilihan cara susun barang dalam kedai runcit yang saya sarankan adalah seperti berikut. Jika ianya banyak membantu peniaga kedai runcit saya rasa sangat bersyukur. Cara susun barang dalam kedai runcit ini adalah pandangan daripada perspektif seorang pelanggan untuk peniaga kedai runcit.
Jangan kedekut membeli rak bertingkatseperti pasar raya. Jika melakukan ubah suai sendiri menggunakan kayu juga tiada masalah kerana apa yang penting, rak-rak bertingkat itu bakal memaksimumkan penggunaan ruang sempit kedai runcit. Jadi penuhkan kedai dengan rak bertingkat yang boleh dicapai dengan mudah. Tidak perlu setinggi 5 tingkat melainkan anda membuka kedai sesuai dengannya.
Kedudukan kaunter pembayaran yang tidak menyempitkan pelanggan untuk keluar dan masuk serta berasak untuk membayar. Menjadi kebiasaan pelanggan untuk meletakkan barang yang mahu dibeli di atas kaunter. Jika penuh barang jualan atas meja kaunter, pelanggan terpaksa memegang barang terlalu lama dan kemungkinan barang yang diletakkan boleh tertukar, terlupa kira dan tertinggal.
Asingkan dengan sewajarnya barang basah dan kering. Ikan dan ayam biasanya diletakkan pada kawasan khas memandangkan perlu sumber air atau ais dan lalat mudah menghurunginya. Lebih baik disimpan dalam keadaan bertutup. Selain bersih, barang basah mampu dikekalkan kesegarannya dengan lebih lama.
Barang laris dicuri diletak berdekatan dengan peniaga. Contohnya susu budak perlu sentiasa dalam radar pemerhatian peniaga. Barang bernilai tinggi harga perlu diletakkan lebih hampir dengan peniaga. Jika kecurian berlaku, kerugian lebih besar memandangkan kebanyakkan kes kecurian susu budak sangat aktif ditularkan.
Lakukan pembahagian mengikut kategori bersesuaian. Contoh kategori adalah barang mencuci, makanan dalam tin, biskut-biskut, minuman, barang kering seperti kentang, barang berguni, alat perkakasan rumah, alat tulis, barang budak seperti pampers. Contoh kesalahan seperti barang mencuci diletakkan sama tempat dengan makanan tidak harus dilakukan sama seperti membungkus barang dibeli pelanggan. Pengasingan.
Jika keadaan kedai tidak ada pelanggan, jangan malas mengemas. Barang bersepah mengundang kehidupan lain mendiaminya. Tikus, lipas dan sebagainya. Jangan membantu pembiakan penyakit di kedai runcit. Selain itu, semak tarikh luput sesuatu barang agar masih dalam tempoh yang boleh digunakan.
Barang-barang kecil mudah diletakkan di belakang kaunter tetapi di simpan dalam rak bersesuaian. Contohnya minyak urut, pil, pengepit kuku dan sebagainya. Kadang kala pelanggan akan membeli bila ternampak barang yang dipamerkan. Seperti saya juga. Niat nak beli gula-gula tetapi beli juga kapas telinga dan barang-barang lain.
Paling membimbangkan, bila cara susun barang membuatkan peniaga dan pelanggan keliru dengan harga barang. Letak tempat lain dan harga masa bayar lain. Pelekat harga lebih baik dilekatkan pada barang agar mudah pelanggan merancang perbelanjaan. Segelintir pelanggan bawa wang cukup-cukup sahaja. Jika semua tanda harga diletakkan dengan jelas maka tidak perlu sesi menjawab soalan bersama pelanggan kedai runcit.
Pencahayaan amat penting dalam kedai runcit. Tidak elok malap sahaja. Kedai yang malap menyukarkan pelanggan buta warna, rabun dekat dan barang jualan nampak tidak menarik walau pun plastik pembungkusan di reka dengan cantik. Saya suka melihat tarikh luput, tanda halal dan isi kandungan sesuatu barang sehingga beli dua barang pun boleh jadi berpuluh minit. Kalau salah beli nanti perempuan membebel pula kan.
Semua panduan yang diberikan di atas mengikut kesesuaian keluasan kedai runcit. Cara susun barang kedai runcit yang teratur memudahkan pelanggan membeli tanpa perlu berpusing-pusing dan banyak bertanya. Makanan dan minuman serta botol kaca dan tin, pencuci dan perkakasan, barang budak dan alat tulis, barang kering dan basah, barang berguni adalah contoh kategori yang mudah. Jika mengambil contoh pasar raya besar melakukan pembahagian kategori adalah lebih baik dan lakukan pemerhatian serta terapkan untuk kedai runcit anda. Tentu ianya banyak membantu pelanggan membeli barang dengan senang hati dan gembira. Paling dimahukan peniaga, pelanggan datang kembali atas sebab cara susun barang yang efektif dan memudahkan.
Ulasan
Catat Ulasan